Pesara didakwa terima rasuah

Abd Rahim (tengah) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima suapan RM4,000, tiga tahun lalu.
Abd Rahim (tengah) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima suapan RM4,000, tiga tahun lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM4,000 tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Abd Rahim Ali, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu berjawatan sebagai Penolong Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Negeri telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai RM4,000 daripada pemilik Syarikat Rahim Maarof Enteprise sebagai upah memberikan kerja-kerja pembekalan tong insulasi 75 liter jabatan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perikanan Melaka di Batu Berendam di antara jam 11.30 pagi hingga 1 petang pada 8 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia seorang pesara dan wang pencen yang diperoleh setiap bulan masih perlu menolak ansuran bayaran pinjaman perumahan.

Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan tarikh 24 November depan sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!