Sembunyi dadah dalam pen marker

Johari (tengah) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam pen marker.
Johari (tengah) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam pen marker.
A
A
A

NILAI - Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan penyeludupan dadah seberat 1,614 gram dengan nilai RM64,560 yang disembunyikan dalam berpuluh batang pen dakwat untuk dihantar ke luar negara.

Sindiket yang didalangi seorang warga asing berusia 35 tahun itu menjadikan perkhidmatan kurier sebagai modus operasi penyeludupan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu ketika sedang berurusan di kaunter perkhidmatan kurier di Sentul, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan mendapati kotak berkenaan mengandungi bahan kristal jernih dipercayai dadah jenis methamphetamine.

"Suspek menggunakan helah dengan mengikrar kandungan kotak yang akan dihantar ke sebuah negara di Asia Timur itu sebagai alat tulis bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di JKDM Cawangan Narkotik, di Kampung Jijan di sini hari ini.

Menurutnya, dadah berkenaan disorok dan diisi dalam pen penanda pelbagai warna dengan berat kasar keseluruhan kira-kira 854 gram yang dianggarkan bernilai RM34,160.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada serbuan ke atas rumahnya di Kuala Lumpur dan telah menemui dadah yang disorokkan dalam pen dakwat anggaran kasar 760 gram dianggarkan bernilai RM30,400.

Sementara itu katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu (24 Oktober) hingga 30 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati kegiatan ini bukan pertama kali dilakukan suspek selain mungkin membabitkan individu lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!