Samseng jalanan: Polis Kedah tidak kompromi
ALOR SETAR - Penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti samseng jalanan terus meningkat dan situasi ini membimbangkan kerana kebanyakan pelajar terlibat tidak memiliki lesen memandu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, jumlah pelajar terlibat meningkat kepada 25 kes tahun lalu berbanding 14 kes pada 2017 berdasarkan Op Samseng Jalanan.
“Polis tidak akan berkompromi bagi kesalahan membabitkan pelajar dan pelajar yang tidak memiliki lesen dan ditahan dalam operasi akan diambil tindakan, yang membimbangkan apabila pelajar terbabit terlibat dalam kemalangan ketika merempit, ini menyukarkan lagi keadaan.
“Ada ibu bapa yang tidak tahu anak mereka terlibat dalam aktiviti ini. Kita ambil tindakan atas maklumat diperoleh daripada aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang disalurkan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kes merempit melibatkan daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Langkawi terdiri daripada pelajar berusia 14 hingga 17 tahun dan berdasarkan siasat aktiviti itu dilakukan untuk keseronokan.
“Ia umpama edaran peringkat umur, golongan ini hanya aktif ketika usia 17 tahun ke bawah, selepas menginjak dewasa aktiviti itu ditinggalkan. Mereka juga tidak terlibat dalam aktiviti jenayah namun sekadar untuk berseronok,.
“Kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengekang aktiviti ini, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan. Semua harus mainkan peranan, termasuk ibu bapa, pihak sekolah, aspek pendidikan dan ceramah keselamatan serta agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Seong Lim berkata, pelajar yang ditahan atas kesalahan itu akan direman dan lesen mereka digantung, manakala denda diputuskan oleh mahkamah.
“Kita tidak akan kompromi dalam hal ini, kebiasaan mereka dikenakan hukuman bon berkelakuan baik menyebabkan mereka mengulangi kesalahan sama. Saya harap pelajar terlibat ambil iktibar dan jauhi aktiviti tidak sihat ini.
“Bagi kesalahan samseng jalanan boleh didakwa bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun,” katanya.
Terdahulu, Seong Lim meninjau Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan sepanjang tiga hari dilancarkan 761 saman dikeluarkan atas enam kesalahan utama.
“Enam kesalahan itu melibatkan 676 kes memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat sebanyak (50 kes), menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu (16), memotong kiri barisan (15), memotong di garisan berkembar (3) serta satu kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!