Hajiji, tiga ADUN angkat sumpah hari ini
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di Dewan Mesyuarat DUN Sabah.
Turut mengangkat sumpah dua ADUN dilantik iaitu Datuk Seri Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Datuk Amisah Yassin yang juga Timbalan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta seorang ADUN dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Jaujan Sambakong bagi DUN Sulabayan.
Hajiji mendahului majlis angkat sumpah yang bermula pada jam 11.20 pagi tadi di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Setiausaha DUN Sabah, Shafaruddin Halide.
Sinar Harian pada pada 9 Oktober lalu melaporkan seramai 74 ADUN Sabah termasuk empat ADUN dilantik mengangkat sumpah di DUN Sabah.
Bagaimanapun, Hajiji antara lima ADUN yang tidak hadir dalam upacara itu kerana menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi daripada 73 keseluruhan kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan baharu yang diketuai oleh Hajiji.
Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya memenangi 32 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!