The Lions buru slot enam terbaik
AKSI terakhir berdepan Sabah pada saingan CIMB Liga Super masih mempunyai 1,001 makna buat kapten UiTM FC, Muhd Faizal Mohd Arif yang berharap The Lions Troop mampu sekurang-kurangnya mengutip satu mata bagi meletakkan mereka berada di tangga keenam.
Jika ia menjadi kenyataan, Faizal mengakui situasi itu bakal meletakkan UiTM FC berada dalam laluan sedikit mudah bagi merintis jalan yang lebih jauh di pentas TM Piala Malaysia musim ini.
Ini kerana UiTM FC akan berada dalam kalangan lapan pasukan pilihan termasuk dua pasukan teratas Liga Premier - Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi berdepan empat pasukan CIMB Liga Super daripada kedudukan 7 hingga 11 dan 3 hingga 5 daripada Liga Premier.
“Selagi pertemuan dengan Sabah belum berlangsung, maka saya dan rakan-rakan belum lagi mahu memikirkan lagi saingan Piala Malaysia kerana peluang kami dalam saingan itu nanti banyak bergantung terhadap keputusan dengan Sabah.
“Jika kami mampu menang atau sekurang-kurangnya keputusan seri, saya rasa peluang kami mungkin akan lebih baik dalam saingan TM Piala Malaysia kerana di pusingan awal, kami dapat mengelakkan pasukan-pasukan pilihan.
“Saya tidak kata memandang rendah saingan pasukan dari balang kedua itu nanti, cuma setidak-tidaknya situasi itu akan memberikan sedikit kelegaan pada kami serta tidak merasai tekanan yang tinggi untuk mencari kemenangan,” katanya.
Pertemuan antara Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 18 Oktober lalu terpaksa dipinda kepada 31 Oktober ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam.
Pindaan itu merupakan kali kedua selepas perlawanan asal sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober di Stadium Likas, Kota Kinabalu, namun kes mendadak yang dicatatkan di Kota Kinabalu membuatkan perlawanan tersebut tidak dapat diadakan di sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!