Thanabalan hargai pengalaman bersama Perak II

THANABALAN
THANABALAN
A
A
A

SEMUSIM bersama Perak II secara pinjaman telah memberikan pengalaman berharga kepada penyerang Kedah, N Thanabalan bagi menghidupkan kembali kariernya menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Bekas penggempur skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu yang membuat lima penampilan dalam saingan Liga Premier musim ini, kini kembali mendapat perhatian selepas menerima tawaran daripada beberapa kelab termasuk sebuah pasukan Liga Super.

"Kontrak bersama Kedah habis tahun ini dan sekarang ada tiga kelab yang menawarkan kontrak, mungkin musim depan saya akan bermain untuk pasukan baharu.

"Ia masih di peringkat rundingan, lagi pun saya mahu pilih pasukan yang boleh beri saya jaminan minit permainan,” katanya tanpa mendedahkan nama pasukan tersebut.

Pada masa sama, anak jati Rantau, Negeri Sembilan itu mengakui keputusan menyertai Perak II yang dibimbing jurulatih Abu Bakar Fadzim merupakan langkah tepat tatkala nama serta kemampuannya semakin dilupakan sejak mencipta fenomena pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya membuat keputusan yang tepat dan memang saya puas hati pergi ke sana (Perak II), sangat berbaloi. Saya dapat rasakan tahap kecergasan semakin bertambah baik memandangkan intensiti program latihan juga tinggi, serta kata perangsang yang sering diberikan jurulatih.

“Beliau (Abu Bakar) seorang jurulatih yang memberikan tumpuan terhadap aspek kecergasan dan bijak menaikkan motivasi pemain. Beliau seorang jurulatih yang luar biasa. Saya berazam untuk kembali ke tahap terbaik dan buktikan kemampuan saya musim depan,” ujarnya.

Thanabalan menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila menanduk masuk gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!