Perak teliti tapak RTB

Ahmad Faizal menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang meneliti tapak Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi mempercepatkan proses pemberian hak milik tanah kepada para petani.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian hak milik itu bertujuan membolehkan para petani merancang usaha pertanian dengan lebih sistematik untuk satu pelan jangka panjang.

“Antara tapak telah dikenal pasti untuk dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) ialah di kaki Gunung Masoorat, di kawasan sekitar Gunung Rapat, Gunung Lang di sini dan Taman Herba di Gopeng,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) yang ingin tahu rancangan masa panjang mengatasi masalah petani yang tidak memiliki tanah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Projek Pertanian Bandar dan pertanian komuniti atas tanah milik kerajaan atau tanah milik agensi kerajaan yang tidak digunakan dalam kawasan bandar.

Katanya, program pertanian bandar yang juga berasaskan komuniti melibatkan kawasan perumahan dan telah dimulakan di Taman Meru Perdana, Chemor pada Julai lepas dan akan disusuli di Taman Villa MDP, Tanjung Rambutan pada November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memaklumkan jumlah import makanan pada ketika ini adalah melebihi RM50 bilion setahun yang menunjukkan potensi amat besar dalam sektor pertanian di Perak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, Yayasan Perak akan memohon penambahan peruntukan bantuan untuk membaik pulih rumah susulan penerimaan permohonan yang amat tinggi daripada rakyat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan sebanyak RM1.3 juta adalah tidak mencukupi dan Yayasan Perak akan memohon kepada kerajaan negeri agar menambah peruntukan bantuan tersebut kepada RM5 juta namun ia bergantung kepada kemampuan kerajaan dan ia akan dibahaskan dalam bajet 2021,” katanya.

Saarani berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Terence Naidu (DAP-Pasir Berdamar) sekiranya terdapat cadangan meningkatkan peruntukan memandangkan membaik pulih rumah merupakan cara yang baik untuk membantu rakyat Perak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!