Keunikan kelangsungan sistem beraja
YDPA
PEMILIHAN Yang di-Pertuan Agong ke-16 baru-baru ini adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Pemilihan raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak berlaku di mana-mana negara lain selain Malaysia.
Pemilihan pada 24 Januari tersebut menyaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dipilih sebagai YDPA yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.
Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara. Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang turun takhta sebagai YDPA ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.
Sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara yang berdaulat. Negara-negara berdaulat ini dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.
Oleh hal yang demikian tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, raja-raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda-baginda mempunyai jajahan mereka sendiri. Malah mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan mereka sendiri.
Begitulah peri pentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Malah di Malaysia kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’. Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura umpamanya.
Lantas Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada YDPA, bukan perdana menteri atau pihak lain.
Perkara 39 ini menyatakan Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada YDPA dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
Persekutuan Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya yang tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.
Setiap pihak sama ada raja rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kemegahan dan gahnya institusi dan peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.
Rata-ratanya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sangat taat kepada raja-raja sehinggakan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti di hati masyarakat Melayu. Jangan sesekali mencemarkan institusi raja-raja Melayu apatah lagi ia telah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Ironinya ada yang mempertikaikan institusi raja-raja Melayu tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah daripada raja-raja Melayu.
Raja dan rakyat berpisah tiada ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan raja. Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu.
YDPA yang baru dipilih ini telah menzahirkan keakraban baginda bersama rakyat. Acap kali baginda mengabaikan protokol diraja semata-mata bagi bersama rakyat. Malah baginda Raja Permaisuri Agong pula memang terkenal dengan masakan baginda dan bertemu rakyat, bermesra, malah memasak bersama rakyat. Keakraban sebegini adalah resipi kepada keharmonian negara dan rakyat akan terus hormat kepada institusi raja.
Sebagai ketua agama raja-raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Raja-raja merupakan benteng terakhir umat Islam di dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan raja-raja.
Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah kebebasan yang mutlak. Ia boleh dan telah disekat oleh undang-undang. Rakyat bebas mengeluarkan pandangan dan mengkritik tindakan raja-raja Melayu begitu juga memujinya. Namun pandangan dan kritikan tersebut perlulah disulami dengan nilai ketimuran dan adab sopan dan tidak mencemarkan kemuliaan institusi raja itu sendiri.
Malah Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan khusus sekiranya mana-mana orang yang tidak berpuas hati terhadap perlakuan peribadi mana-mana raja-raja Melayu sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Raja-raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.
Hakikatnya kebebasan tersebut tidak disalurkan untuk bercakap bohong memfitnah atau menghasut khususnya terhadap raja-raja kerana ia mempersoalkan kewibawaan dan kemuliaan satu elemen penting dalam negara. Sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang berbohong, memfitnah atau menghasut sebegini.
Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi raja-raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! Daulat Tuanku!
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!