Kedah kaji semula dasar perumahan negeri
ALOR SETAR - Kedah akan mengkaji semula dasar perumahan negeri ini agar selaras dengan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025, termasuk Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) yang diwujudkan untuk pembangunan rumah mampu milik kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Exco Perumahan, Tan Kok Yew berkata, semua aspek dasar sedia ada akan diperhalusi termasuk harga rumah yang bersesuaian untuk rakyat Kedah.Menurutnya, pelarasan itu wajar agar wujud kesinambungan antara negeri dan Pusat terutama dalam usaha membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.
“Kita akan kaji semula dasar perumahan termasuk prosedur, piawaian perancangan keperluan pembangunan serta caj yang dikenakan oleh kerajaan. Ini termasuk mana-mana aspek bawah dasar ini yang dianggap kurang sesuai dipraktikkan,” katanya, selepas mengadakan perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Kampung Baru, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Kok Yew berkata, pihaknya menjangkakan pelarasan itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
“Antara aspek yang akan dikaji termasuk keseimbangan dalam penawaran dan permintaan rumah, keperluan dan keupayaan pembeli, harga rumah serta isu setinggan dalam bandar,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini harga rumah di Kedah disifatkan mahal dan seolah wujud jurang harga susulan harga ditawarkan sama ada terlalu tinggi atau rendah.
“Kita cuba bina rumah mampu milik pada harga berpatutan, jurang harga sekarang terlalu tinggi jadi kita akan selaraskan untuk penuhi keperluan pembeli. Ini juga bagi mengelak berlakunya ketidakseimbangan dalam permintaan rumah,” katanya.
Kok Yew berkata, dalam merangka dasar perumahan baharu itu, pihaknya akan mendapatkan input daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah serta golongan profesional agar menepati kehendak penggiat dalam industri ini.
“Kita akan teliti apa masalah dihadapi mereka dan bincangkan cadangan daripada badan-badan itu untuk penambahbaikan dasar,” katanya.
Terdahulu, Kok Yew menyampaikan taklimat kepada AJK MPKK mewakili 37 buah kampung baru di Kedah.
Menurutnya, pelantikan Pengerusi dan Setiausaha MPKK itu berkuatkuasa mulai 1 Februari 2019 hingga 31 Disember 2020.
“Peranan mereka adalah untuk merancang pembangunan kampung dan aktiviti, selain pastikan dasar kerajaan disalurkan kepada penduduk. Perlu ada dasar strategik, inovatif dan kreatif untuk pastikan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhn ekonomi seimbang,” katanya.
Kok Yew berkata, lantikan turut melibatkan 30 peratus kaum wanita, selain mengehadkan umur kepada 68 tahun.
“Semua lantikan telah melepasi tapisan dan bebas jenayah serta insolvensi. Diharap MPKK akan bawa imej baharu kepada kampung baru dalam semua aspek,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!