Permainan politik gagal, Muhyiddin tersepit
ALOR SETAR - Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum selesa dan diibaratkan ‘tersepit’ gara-gara permainan politiknya gagal dilaksanakan apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengisytiharan darurat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, rentetan itu Muhyiddin seharusnya lebih ‘gentleman’ dengan melepaskan jawatan kerana sudah hilang kepercayaan mentadbir negara.
Menurutnya, nasihat daripada Muhyiddin diketepikan Seri Paduka Baginda dan ini memperlihatkan moral beliau sebagai Perdana Menteri sudah tercalar.
“Secara moralnya, apabila Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan atau nasihat daripada Perdana Menteri, ini situasi di mana beliau harus lepaskan jawatan. Nasihat beliau sudah tidak mendapat kepercayaan Seri Paduka Baginda, malah permainan politik Muhyiddin itu telah menyusahkan Majlis Raja-raja dan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan kereta wakaf kepada kariah Hutan Kampung, di Dewan Taman Cahaya Suria, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kenyataan Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa tiada keperluan melaksanakan darurat membuktikan Muhyiddin cuba melakukan suatu pembohongan berkaitan situasi semasa negara.
“Ini jelas menunjukkan permohonan darurat itu lebih kepada percubaan mencipta suatu pembohongan. Yang dimohon itu bukan darurat kesihatan, tetapi darurat keselamatan menyeluruh bersifatkan politik di sebalik alasan untuk menggantung Parlimen,” katanya.
Menurutnya, ini kerana kegusaran Muhyiddin untuk berdepan realiti kemungkinan diadakan usul undi tidak percaya terhadap dirinya di persidangan Dewan Rakyat.
“Adakah kita masih lagi mahu pertahankan kerajaan yang lemah ini, ia akan menyebabkan pelabur menjauhkan diri susulan kerajaan sedia ada ‘goyang’,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO kekal sokong kerajaan PN, tolak kerjasama PKR, DAP
Majlis Tertinggi UMNO semalam memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai kehormatan dan ‘political consensus’.
Ia diumumkan selepas beberapa jam Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kemungkinan bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa melibatkan parti DAP.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, keadaan itu akan menyebabkan Muhyiddin tersepit walaupun memperoleh sokongan Ahli Parlimen BN.
“Saya percaya Muhyiddin sudah tentu tidak mahu diingati sebagai Perdana Menteri paling singkat memerintah. Beliau tentu tidak mahu rekodnya diingati sebagai Perdana Menteri yang terpaksa lepaskan jawatan sebab hilang kepercayaan ahli Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.
Muhyiddin kini sedang ‘bersilat’ untuk memujuk pimpinan parti supaya pertahankan beliau dan mengharapkan pelepasan jawatan bukan segera, mungkin dilanjutkan hingga tempoh tertentu,” katanya.
Menurutnya, kerajaan PN bukanlah sebuah kerajaan yang mementingkan kepentingan rakyat, sebaliknya mementingkan kepentingan sendiri.
“Saya percaya Ahli Parlimen Pas dan UMNO pun ‘goncang’ sekarang sebab kedudukan mereka bergantung kepada kedudukan Muhyiddin, kalau kerajaan PN runtuh, mereka hilang segalanya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!