Karikatur Nabi Muhammad: Zulkifli hantar surat kepada Duta Perancis

Tangkap layar hantaran Facebook Dr Zulkifli hari ini.
Tangkap layar hantaran Facebook Dr Zulkifli hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menulis surat kepada Duta Perancis di Malaysia berhubung penerbitan semula karikatur Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo di Paris.

Menerusi entri di Facebooknya hari ini, Zulkifli berkata, surat yang mewakili kerajaan Malaysia dan umat Islam itu juga disertakan dengan sebuah buku sebagai hadiah.

“Bersempena dengan bulan Rabi'ul Awwal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW, saya hadiahkan beliau sebuah buku bertajuk al-Shama'il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad) terjemahan Bahasa Inggeris,” katanya.

Menurut Zulkifli, dalam surat tersebut, buku berkenaan adalah sangat baik untuk dibaca bagi mempelajari mengenai hidup, adab dan karakter Nabi Muhammad SAW.

“Kamu hanya boleh benar-benar mencintai seseorang jika kamu mengenali dia,” jelasnya dalam surat yang turut dimuat naik bersama dengan hantaran tersebut.

Baru-baru ini, media melaporkan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo telah menerbitkan kembali kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad yang sebelum itu pada tahun 2015 menyebabkan mereka menjadi sasaran penembak beragama Islam.

Media difahamkan, tindakan itu adalah bagi menandakan bermulanya perbicaraan pasangan adik-beradik, Said dan Cherif Kouachi yang melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris.

Selain itu, antara perkara lain yang dibangkitkan Zulkifli dalam surat tersebut ialah berkenaan dengan tanggungjawab untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan ekstremisme dan keganasan.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya kita mempunyai pendapat yang sama iaitu tiada mana-mana agama yang ada di seluruh dunia seharusnya menjadi lambang kepada tindakan ekstremisme atau keganasan.

“Kita sebagai pemimpin seharusnya tidak menggalakkan tindakan-tindakan sedemikian.

“Sebaliknya, kita harus menggalakkan golongan muda yang berpotensi untuk melakukan perkara sedemikian untuk mengekspresikan ketidaksetujuan mereka terhadap sesuatu perkara dengan cara yang aman,” jelas beliau lagi.

Pada masa sama, Zulkifli berharap peristiwa tersebut dapat merapatkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis yang telah bermula semenjak 1957.

“Semoga peristiwa ini memberi pengertian yang besar dalam memaknakan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Perancis,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!