Pas, pendakwah bantah tindakan Perancis hina Islam

Idris (barisan depan, dua dari kiri) hadir di kedutaan Perancis di Kuala Lumpur untuk menghantar memorandum bantahan terhadap tindakan kerajaan Perancis hari ini.
Idris (barisan depan, dua dari kiri) hadir di kedutaan Perancis di Kuala Lumpur untuk menghantar memorandum bantahan terhadap tindakan kerajaan Perancis hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas bersama gerakan pendakwah di Malaysia akan meneruskan protes secara dalam talian bagi membantah tindakan kerajaan Perancis yang bersikap double standard terhadap rakyat Perancis yang beragama Islam.

Ia susulan tindakan kerajaan Perancis yang mempertahankan tindakan seorang guru, Samuel Paty yang telah menjadi mangsa bunuh disebabkan tindakannya menghina agama Islam atas dasar hak kebebasan bersuara.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Pas berpandangan bahawa tindakan kerajaan Perancis mengambil keputusan mempertahankan tindakan guru tersebut secara berlebihan adalah tindakan yang tidak bertamadun, tidak masuk akal dan melanggar prinsip serta tatasusila kemanusiaan.

Menurutnya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron digesa menarik semula anugerah Legion d’Honneur yang telah dianugerahkan kepada Samuel Paty yang disifatkan sebagai pengiktirafan kepada budaya provokasi melampau iaitu membenarkan penghinaan kepada agama lain.

"Pas menghantar memorandum bantahan dengan memberi beberapa gesaan untuk perhatian kerajaan Perancis dalam isu ini.

"Selain itu, kita akan adakan proses secara dalam talian kerana suasana hari ini tidak mengizinkan perhimpunan.

"Protes ini akan melibatkan pemimpin-pemimpin termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tokoh-tokoh dakwah dan pendakwah terkenal untuk terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di kedutaan Perancis di ibu negara bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di pinggir kota Paris, Perancis apabila Samuel Paty, seorang guru subjek Sejarah di sebuah sekolah di Perancis telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya.

Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada pelajar.

Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberikan anugerah khas pada satu majlis yang diadakan 21 Oktober lau di Universiti Sorbonne dengan menganggap penghinaan guru tersebut sebagai aksi seorang ‘hero’ kerana mempertahankan dasar kebebasan dan beliau juga berjanji untuk memerangi golongan 'radikal Islam' habis-habisan.

Rentetan itu, Idris berkata, antara gesaan lain yang dibuat menerusi memorandum itu adalah Pas mendesak Emmanuel Macron menarik balik segala ucapan provokasi dan tohmahan terhadap Islam.

Sementara itu, Idris berkata, Perancis juga perlu berdepan dengan kesan yang bakal dihadapi sekiranya terus berdegil dan bertindak zalim terhadap Islam dan umatnya termasuk ancaman boikot terhadap produk keluaran negara itu.

"Kami umat Islam khususnya negara-negara umat Islam akan melancarkan boikot terhadap produk keluaran Perancis.

"Seluruh populasi Muslim yang berjumlah 1.9 billion yang mewakili 24.5 peratus daripada populasi dunia akan melancarkan perang perdagangan terhadap semua produk keluaran Perancis.

"Ia sekali gus akan memberi kesan besar kepada ekonomi Perancis yang sedang bergelut menghadapi impak penularan koronavirus (Covid-19)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!