Sejam tumpaskan ular sawa batik 110kg
DUNGUN - Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun mengambil masa hampir sejam untuk menumpaskan seekor ular sawa batik seberat 110 kilogram (kg) dengan panjang lapan meter di Kampung Santong, Paka di sini petang semalam.
Reptilia itu ditangkap selepas APM menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.59 petang.
Difahamkan, dalam kejadian itu, kehadiran ular sawa tersebut disedari selepas terdengar ayam berkokok seperti ada ancaman di kawasan reban sebelum pemilik reban ayam tersebut bertindak menghubungi bilik gerakan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, empat anggotanya dikerahkan ke lokasi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada dalam reban berkenaan.
Katanya, anggotanya mengambil masa lebih kurang sejam untuk menangkap reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas.
"Ini adalah ular sawa terbesar dan terpanjang yang pernah ditangkap anggota APM Dungun sepanjang tahun ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ular sawa itu kemudiannya di bawa pulang ke bilik gerakan APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!