Benarkah kita cintai Rasulullah?
ESOK, buat sekian kalinya kita akan menyambut hari Maulidur Rasul yang diraikan pada 12 Rabiulawal. Apakah signifikan hari kelahiran baginda buat kita selain daripada cuti? Apa pula yang kita buat pada hari cuti itu? Apakah lebih banyak memperingatinya atau membuat perkara-perkara lain yang tidak langsung menggambarkan kita menyanjunginya?
Nabi Muhammad SAW merupakan seorang pedagang, pendakwah dan penjihad yang tidak pernah berhenti menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul. Dari usia 40 tahun sehingga ke akhir hayatnya pada umur 63 tahun, baginda tiada konsep pencen seperti ramai antara kita yang berehat dan bersantai menghabiskan sisa-sisa hidup bersama keluarga apabila sampai usia bersara.
Kita juga tidak pernah terbaca kisah baginda cuti pada hujung minggu. Dari segi kerja kuatnya, di mana kita, berbanding dengan usaha tidak mengenal penatnya? Nabi Muhammad SAW melakukan semua itu kerana cinta kepada umatnya. Keprihatinan baginda bukanlah setakat untuk dirinya, keluarga, cucu-cicit mahupun sahabatnya tetapi terhadap masa depan umat yang tidak sempat menemuinya.
Kita pula bagaimana? Kita asyik memikirkan tentang diri dan keluarga semata-mata. Bergembira bersama anak isteri, barangkali saudara-mara. Makan di sana sini, berjalan ke sana ke mari, sentiasa bersuka ria tanpa henti-henti ‘berwelfie’. Memanglah ia amat baik untuk 'family bonding', malah menyantuni keluarga dituntut dalam agama.
Tetapi Rasulullah SAW bukan memikirkan mereka di sekelilingnya tatkala sakaratulmaut hampir tiba, sebaliknya baginda sedih apabila teringatkan masa depan umatnya. Bagaimana mereka seketiadaannya?
Apakah kita mengambil masa untuk merenung apa akan terjadi kepada masa depan anak cucu atau generasi keluarga kita, 50 tahun atau 100 akan datang? Jika kita tidak tergamak menegur ahli keluarga yang tidak solat, tentu tak tercapai dek akal kita untuk memikirkan bagaimana pegangan agama generasi kita pada akhir zaman.
Bagaimana usaha kita menyampaikan ajaran Islam kepada mereka selepas kita? Jika tidak mampu, apakah kita ada menyimpan kitab-kitab tulisan ulama muktabar, video ceramah dan rakaman audio alim ulama dengan niat untuk tatapan anak cucu buat bekal mereka agar tidak tergelincir daripada landasan agama?
Pendirian
Itulah pendirian dan perbuatan Rasulullah SAW dari segi dakwah. Baginda lakukan untuk umat sezaman hingga kepada umatnya pada akhir dunia tetapi apakah kita terfikir hingga ke situ? Jika kita kata kita hendak mencontohi Rasulullah SAW, dari aspek itu kita memang jauh dapat menjejaki kaedah dakwahnya.
Jika kita tanya diri sendiri, apakah kita menyintai Rasulullah SAW seperti baginda menyintai kita? Tentu ramai antara kita mengakui cinta Rasulullah SAW kepada kita jauh lebih hebat daripada cinta kita kepadanya, malah ramai juga yang tidak terasa pun cintanya terhadap kita kerana hati tidak bergetar apabila disebut namanya.
Dengan kekasih, kita asyik menyebut namanya dalam jaga, malah hingga terseru dalam mimpi. Jika kita kata kita cintakan Rasulullah SAW, apakah namanya sentiasa meniti di bibir? Apakah apabila teringat baginda, kita ucapkan selawat seperti kita sentiasa mendoakan kesejahteraan kekasih apabila kita teringatkannya?
Apabila kita cintakan seseorang, kita akan ambil tahu siapa ibu bapanya, belajar di mana, siapa kawannya, perangainya, moodnya, kesukaannya dan kebenciannya. Oleh itu, apabila kita kata kita cintakan Rasulullah SAW, tentu kita ambil tahu siapa ibu bapanya, apa kesukaannya dan apa yang dibencinya.
Sebaliknya, jika kita hanya kenal Nabi Muhammad SAW setakat namanya, seolah-olah baginda yang bertepuk sebelah tangan mengasihi kita tetapi kita tak terasa pun kasih baginda kepada kita. Jika setitis air mata tidak gugur mengenangkan pengorbanannya, apakah cinta kita itu hanya mainan di bibir?
Jika begitu, maaf cakap, katakan sahaja yang kita sebenarnya belum cintakan Rasulullah SAW! Tidak malukah kita mengaku menjadi umatnya tetapi hanya mengenali sekadar namanya semata-mata?
Jika benar kata-kata ini, beristighfarlah. Jika sebaliknya, berselawatlah kepadanya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!