Jaga kesihatan anak berkhatan: MB Terengganu
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta ibu bapa kanak-kanak yang berkhatan agar menjaga kesihatan mereka.
Paling utama katanya, selain kesihatan anak-anak, ibu bapa perlu menjaga keselamatan mereka dalam keadaan cuaca tidak menentu sepanjang tempoh cuti persekolahan ini.
“Dalam keadaan hujung tahun ini cuaca kadang-kadang panas, kadang-kadang hujan, kadang-kadang ribut, jaga kesihatan dan keselamatan anak-anak kita sempena cuti sekolah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Dun Rhu Rendang yang disertai kira-kira 160 kanak-kanak di Dewan Sivik Darat Pak Chan anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.
Adun Rhu Rendang itu turut meminta ibu bapa agar mengawasi anak-anak agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tidak selamat agar dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan baik.
Menurutnya, ibu bapa juga disaran menyusun jadual aktiviti anak-anak dengan baik termasuk menghabiskan masa untuk bercuti bersama sekali gus merapatkan lagi hubungan mereka.
“Sebelum ini mungkin sibuk dengan waktu sekolah masing-masing, gunakan ruang ini....Kalau ada ruang untuk ziarah menziarahi...pergilah tapi jaga kesihatan dan keselamatan anak-anak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!