Ketulan di tubuh mengecut, kulit masih gatal
JENGKA - Selepas 9 tahun, mangsa terkena percikan api, Muhamad Iqram Hashim, 11, dari Felda Jengka 23, di sini tetap tabah menjalani kehidupannya walaupun fizikalnya tidak normal seperti remaja lain.
Ketulan daging yang tumbuh di bahagian muka, tangan, telinga, dada dan paha itu semakin mengecut namun rasa gatal masih lagi dialami remaja itu terutamanya ketika berada di kawasan panas.
Ibunya, Suraya Abdul Manan, 39, memberitahu, anak sulung daripada dua beradik itu sudah lali dan tidak lagi kekok berbanding ketika mula memasuki zaman persekolahan.
Menurutnya, anaknya itu mengeluh ketika kulitnya terasa gatal apabila berpeluh dan Suraya hanya mampu meletakkan ubat krim terhadap Iqram.
"Lengan Muhamad Iqram akan dipasang suatu alat berikutan tangannya tidak boleh diluruskan selain berdepan masalah kerosakan gigi dan kulit.
"Namun, kos sebenar pemasangan alat itu masih belum diketahui namun mencecah ribuan juga dan saya juga sedang berusaha mencari dana" katanya kepada Sinar Harian.Dalam insiden yang berlaku pada 2011 di Felda Kumai, Bera, Muhamad Iqram yang berusia dua tahun ketika itu melecur hampir 50 peratus selepas terkena percikan api ketika ibunya sedang membakar sampah.
Secara tiba-tiba ada sesuatu meletup dan terpelanting masuk menerusi tingkap bilik lalu terkena pada Muhamad Iqram yang sedang tidur.
Tambahnya, anaknya perlu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh setiap dua bulan sekali untuk pemeriksaan dan rawatan.
Suraya kini bergelar ibu tunggal selepas suaminya, Hashim Mualaf, meninggal dunia pada April lalu akibat penyakit jantung.
"Saya kini menetap bersama keluarga di Jengka 23 dan bergantung hidup pada mereka," katanya lagi.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (156141643641) atas nama Suraya Binti Abdul Manan atau hubungi talian 011-18845186.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!