Hina Agong: Polis tahan Ronnie Liu
PETALING JAYA - Polis menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew bagi membantu siasatan berhubung hantaran status di media sosialnya yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Ronnie Liu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.
“Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita akan rakam keterangan dan jika semuanya selesai beliau akan dibebaskan, namun ia bergantung pada keterangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Ronnie Liu tiba di IPD Petaling Jaya pada jam 10.40 pagi untuk membantu siasatan polis.
Semalam media melaporkan Ronnie Liu antara empat individu disiasat berhubung isu menghina Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan tersebut kini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
“Satu siasatan telah dijalankan pada 21 Oktober lalu ke atas akaun Facebook Ronnie Liu.
“Akaun kedua yang sedang disiasat adalah melibatkan ciapan di Twitter Uncle Ireeve pada 25 Oktober lalu yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!