Tawaran jawatan TPM untuk UMNO elok, tapi perlu diperhalusi
SHAH ALAM - Sekiranya benar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO, maka ia perlu diperhalusi dengan lebih mendalam.
Demikian pandangan peribadi bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil mengulas laporan sebuah portal berdasarkan sumber yang tidak didedahkan Sin Chew Daily semalam.
Memetik sumber itu, Sin Chew Daily mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bersedia melantik seorang wakil UMNO ke jawatan itu dan terserah kepada parti itu untuk mengemukakan calon.
Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.
"Jika ini benar, maka pada permukaannya tawaran ini nampak elok, namun ia perlu diperhalusi dengan lebih mendalam dan bukan dengan tergesa-gesa," kata Isham dalam kenyataannya hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Isham, tawaran bersyarat seperti itu bakal mengundang beberapa implikasi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan UMNO harus memberi pertimbangan sewajarnya.
“Pertama, perbalahan dalaman UMNO yang membawa kepada perpecahan apabila Presiden diketepikan secara paksa oleh pihak luar daripada parti terutama oleh parti Bersatu.
“Kedua, ialah pengukuhan kedudukan Muhyiddin dan Bersatu dalam kerajaan dengan sokongan UMNO.
“Ketiga, ialah implikasi kedudukan UMNO dan BN dalam Perikatan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.
Bagaimanapun Isham berpandangan adalah lebih baik jika tawaran Muhyiddin selaku Presiden Bersatu itu datangnya tanpa ada sebarang syarat.
"Barulah ia nampak lebih ikhlas, dan dengan ini memberi ruang kepada UMNO di semua peringkat daripada akar umbi ke kepimpinan tertinggi.
"Ia untuk mempertimbangkannya dan membuat keputusan dengan lebih bebas untuk mencapai konsensus walau apa jua keputusannya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun menafikan laporan portal yang dirujuk daripada sumber Sin Chew Daily itu dan meminta agar laporan spekulatif sedemikian dapat dihentikan.
"Tolong hentikan laporan spekulatif karut marut... "be fair to PM (Perdana Menteri)"... "be fair to UMNO too"," ciapnya di laman Twitternya pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!