Peruntukan elaun guru takmir cukup sehingga Disember: Jakim

Surat MAIK yang tular di media sosial.
Surat MAIK yang tular di media sosial.
A
A
A

PUTRAJAYA - Peruntukan elaun guru takmir bagi seluruh negara pada tahun ini adalah mencukupi sehingga Disember 2020.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam kenyataannya berkata, pihaknya berpandangan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bertarikh 8 Oktober adalah berdasarkan prosedur kewangan negeri berkenaan.

"Jakim ingin menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menjaga kebajikan para murabbi ummah yang banyak membantu pembangunan insan di negara ini seperti guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

"Ia terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Mac lalu supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada kelas pengajian dilaksanakan atau sebaliknya.

"Justeru, Jakim sekali lagi pada Isnin lalu telah mengeluarkan surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai permakluman pembayaran elaun guru takmir," katanya.

Terdahulu tular sepucuk surat MAIK yang memaklumkan bayaran tuntutan elaun mengajar bagi kelas pengajian takmir adalah sehingga November sahaja.

Surat yang ditandatangani oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman itu turut menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan yang disalurkan Jakim.

Sehubungan itu katanya, pihak Maik tidak menghalang kelas pengajian diadakan pada Disember, namun elaun mengajar tidak boleh dituntut.

Artikel Berkaitan:

Surat berkenaan telah menimbulkan polemik dan dibahaskan oleh rakyat di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!