Pendakwaan kemuka 7 lagi saksi kes Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan tujuh lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum menutup kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi menerusi WhatsApp berkata, tujuh saksi yang akan memberi keterangan kesemuanya pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saksi ke-89, pegawai penyiasat SPRM, Fairul Rafiq Hamiruddin telah memberi keterangan pada 13 Oktober lalu dan sepatutnya hari ini saksi terbabit disoal balas oleh pihak pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi berkata, perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November.

Farah Azura berkata, perbicaraan akan bersambung pada 16 hingga 20 November di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Pihak mahkamah telah memaklumkan mengenai penangguhan perbicaraan kes pada hari ini kepada pihak pendakwaan dan pembelaan menerusi e-mel semalam,” katanya.

Seramai 89 saksi pendakwaan telah memberi keterangan antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Datuk Wasi Khan@Wasiyu Zama Israr; bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis&Co, B Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Artikel Berkaitan:

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung, melibatkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!