Rahmat berganda buat rakyat Pahang
KUANTAN - Rakyat sembah tahniah di atas kenaikan darjat berganda ke Bawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, bermula pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang dan seterusnya diangkat menjadi Yang Dipertuan Agong ke 16, merupakan suatu rahmat berganda bukan sahaja kepada negara bahkan rakyat negeri Pahang, khususnya.
"Sebagai seorang putera raja dan Sultan yang berpengalaman dan amat berdampingan rakyat, di pedalaman dan antarabangsa, patik merafak sembah mengucapkan tahniah dan percaya bahawa Tuanku bakal membuktikan keupayaan menjalankan amanah.
"Rakyat berdoa semoga ALLAH membimbing, memberi kekuatan keimanan dan ketakwaan dan perlindungan kepada Tuanku. Bersemayam di singgahsana dengan penuh keadilan dan kesaksamaan," katanya ditemui media, di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.
Pegawai Laksana Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa Pengkalan Udara Kuantan, Leftenan Kolonel, Wan Amir Zaki Wan Hassan, berkata, persediaan dibuat sejak jam 4.30 pagi bagi memastikan kelancaran istiadat Memuliakan Keberangkatan baginda ke Istana Negara, Kuala Lumpur.
Istiadat ini bukan sahaja menjadi peristiwa bersejarah kepada rakyat Pahang bahkan dapat mempamerkan kedaulatan negara ke mata dunia.
"Patik mengucapkan semoga Tuanku dikurniakan kesihatan berpanjangan dalam menjalani tugas-tugas selaku ketua negara dalam tempoh lima tahun akan datang dan dapat memayungi rakyat jelata.
"Harapan pastik semoga Tuanku dan Raja Permaisuri Agong akan lebih sejahtera dan rakyat seluruh malaysia diberi rahmat dan limpahan kurnia ALLAH SWT sepanjang lima tahun pemerintahan baginda," katanya
Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, pegawai dan anggota daerah Maran turut menjalankan tugas seawal jam 6.30 pagi bagi memuliakan keberangkatan baginda.
"Sembah tahniah kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah. Mudah-mudahan Pahang akan mendapat limpahan kurnia dan kebaikan serta bertambah makmur terutamanya dar segi pembangunan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!