Tidak peduli khabar angin bakal dipecat
PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane tidak mahu terlalu memikirkan khabar angin yang menyatakan beliau akan dipecat selepas Los Blancos menampilkan persembahan kurang meyakinkan selepas seri 2-2 ketika menentang Borussia Moenchengladbach dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Menurutnya, ia sekadar khabar angin dan beliau hanya akan menumpukan tugasnya untuk mengendalikan Real Madrid selagi khidmatnya diperlukan di kelab tersebut.
"Memang ada khabar angin mengenai saya dipecat. Tetapi, saya tidak peduli dan tidak terganggu dengan apa yang diperkatakan di luar sana.
"Fokus saya hanya kepada Real dan mahu pasukan bermain baik serta memenangi perlawanan. Saya tidak pernah berfikir mahu mengundurkan diri dan akan berjuang selagi saya diperlukan di sini," katanya.
Kelab gergasi Sepanyol itu meraih hasil kurang positif dalam beberapa perlawanan terakhir yang sekali gus menimbulkan khabar angin pengendali kelahiran Perancis itu akan dipecat.
Dalam saingan La Liga, Real tewas kepada pasukan kerdila, Cadiz 0-1 namun berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Barcelona 3-1 baru-baru ini.
Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, Los Blancos tunduk mengejut kepada 2-3 Shakhtar Donetsk dan seri 2-2 dengan Moenchengladbach-antara rekod terburuk pasukan itu ketika ini.
Malah, keputusan Zidane untuk melepaskan beberapa pemain berbakat seperti Sergio Reguilon ke Tottenham Hotspur, James Rodriguez ke Everton, dan Dani Ceballos ke Arsenal dilihat sebagai satu tindakan kurang tepat.
"Saya tetap di sini dan apa yang akan terjadi nanti terserah kepada pengurusan," kata Zidane.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!