Covid-19: Keputusan perlu ambil kira pandangan 'frontliners'

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) termasuk sama ada perlu melaksanakan darurat atau tidak, ia tidak seharusnya melibatkan pakar undang-undang, ahli politik dan ahli ekonomi sahaja.

Sebaliknya, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berpendapat, ia perlu dirujuk kepada semua pihak berkenaan termasuk pakar kesihatan, polis dan tentera khususnya semua pihak yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi wabak berkenaan.

"Keputusan yang ditentukan untuk menghadapi Covid-19 ini tidak tepat jika mendengar daripada ahli politik yang sentiasa 'berwirid' dengan angka kerusi sahaja.

"Juga ahli ekonomi yang hanya membuat bacaan senario pasaran saham yang dijangka kemarau atau ahli Perlembagaan dan pihak-pihak lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keputusan teliti dan berhemat untuk tidak mengisytiharkan darurat di negara ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa amaran yang perlu diberikan perhatian, di samping beberapa perkara yang telah digariskan.

"Pertama, ahli politik memberhentikan segera sebarang politiking dan kedua, ahli Parlimen jangan sama sekali bertindak secara tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya, muhasabah perlu dilakukan dengan ikhlas, sejauh mana politiking diberhentikan dan tidak melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan terbuka menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telah berpuas hati dengan langkah kerajaan terkini dalam menangani penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Abdul Hadi berkata, oleh kerana penularan pandemik Covid-19 masih berlaku di seluruh dunia, maka masalah yang gawat itu belum selesai, bahkan sudah banyak negara yang terpaksa mengisytiharkan darurat.

"Setiap perkembangan bahaya Covid-19 yang berlaku dalam dunia hari ini perlu diberi tahap kewaspadaan yang tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!