Penganggur mengaku tak bersalah guna kekerasan terhadap polis

No Image Caption
A
A
A

SELAYANG - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua anggota polis di dalam lokap dua hari lalu.

Mohd Hazeran Sudin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Koperal Mohd Khairullizam Atan dan Lans Koperal Aron Pungin ketika mereka menjalankan tugas.

Difahamkan, tertuduh bertindak agresif dengan cara mencucuk mata kiri salah seorang anggota polis terbabit dengan menggunakan jari tangan kanan.

Kesalahan didakwa dilakukan di lokap Balai Polis Selayang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada jam 11 pagi 26 Oktober lalu.

Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar kadar berkenaan dikurangkan dengan alasan tidak berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nik Mohd Fadli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat terhadap jirannya, Meor Mohamad Nor Affendy Meor Zulkifli, 23, dengan menendang motosikal Yamaha 135LC milik mangsa sehingga rosak dengan anggaran kerugian RM150.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Pangsapuri Mutiara Gombak Batu 7 di sini, pada jam 7 pagi, 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan di dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama bagi jatuh hukum dan membenarkan tertuduh dibenar ikat jamin sebanyak RM3,500.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!