AIM di Port Dickson jadi pusat rawatan Covid-19 risiko rendah
SEREMBAN - Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson yang memiliki kemudahan 200 katil dijadikan sebagai pusat rawatan koronavirus (Covid-19) risiko rendah mulai hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini bagi membolehkan rawatan dapat diberikan secara berkesan kepada semua pesakit Covid-19.
Menurutnya, ketika ini Negeri Sembilan merekodkan 424 pesakit yang sedang dirawat di tiga hospital iaitu Hospital Tuanku Ja’afar Seremban seramai 234 orang pesakit, Hospital Rembau (120) orang dan Hospital Tampin (70).
“Yang berisiko rendah (tanpa simptom) kita akan hantar ke AIM manakala yang ada masalah sedikit, kita akan letak di hospital.
“Seperti semua sedia maklum, ini kali pertama kita menghadapi sebanyak 424 kes pesakit di dalam wad,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 155 kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes berjumlah 1,492 kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!