Hospital sementara di Labuan beroperasi hujung minggu ini
LABUAN - Jabatan Kesihatan Labuan membuka sebuah hospital sementara koronavirus (Covid-19) untuk merawat pesakit berisiko rendah yang akan mula beroperasi pada hujung minggu ini.
Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata, hospital sementara dengan kapasiti 150 katil itu dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Labuan.
“Kami giat melakukan ujian saringan bersasar dan kami menjangkakan peningkatan 20 hingga 30 kes Covid19 setiap hari dan trend peningkatan ini berterusan hingga minggu depan, mengambil kira jumlah mereka yang telah menjalani ujian.
“Kapasiti Hospital Labuan meningkat kepada 190 katil dan ia adalah kapasiti maksimum... jika terus berlaku peningkatan pesakit, Hospital Labuan tidak mampu untuk menampung, justeru, kami berharap dapat memulakan operasi hospital sementara esok atau selewat-lewatnya pada Sabtu,” katanya hari ini.
Dr Ismuni berkata, penubuhan hospital sementara Covid-19 yang terletak tidak jauh dari Hospital Labuan itu adalah dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan.
“Kami perlu bersedia menghadapi peningkatan... melihat kepada peningkatan mendadak dalam tempoh 32 hari bermula 26 September hingga 27 Oktober, Labuan merekodkan 319 kes... sebelum pemeriksaan wajib pada 27 September di pintu masuk ke Labuan melalui terminal feri dan lapangan terbang, kami hanya merekodkan 27 kes,” katanya.
Dr Ismuni berkata, sebanyak 864 sampel telah diambil pada Selasa (27 Oktober), menjadikan jumlah keseluruhan sampel diambil sebanyak 23,870 bermula 27 September lepas hingga semalam dan sebanyak 5,950 sampel masih dianalisis.
Terdapat enam kluster di Labuan dengan satu kluster baharu dikesan Kluster Limbungan pada Selasa dengan merekodkan 20 kes, kedua tertinggi selepas Kluster Saguking dengan 162 kes.
Labuan merekodkan kes baharu dua digit sejak beberapa hari lepas, dengan 76 direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 346 kes positif Covid-19 dan turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 30 Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!