14 individu dikompaun ingkar SOP PKPP
KEPALA BATAS - Seramai 14 individu dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka dikenakan tindakan itu dalam Ops Pemantauan Pematuhan PKPP yang diadakan di sekitar Butterworth dan Kepala Batas.
Menurutnya, operasi dilakukan oleh pasukan Task Force Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah SPU itu bermula jam 9 pagi menumpukan kawasan tumpuan ramai seperti stesen minyak, premis perniagaan, pusat membeli belah dan tempat awam.
"Ketika pemeriksaan dilakukan mendapati masih ada individu yang tidak memakai pelitup muka, gagal mengambil bacaan suhu serta tidak mendaftar nama dan menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.
"Kegagalan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan menyebabkan mereka dikompaun dan perlu membayar RM1,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, kesemua mereka yang dikenakan kompaun berusia di antara 16 hingga 64 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua orang perempuan.
Katanya, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
"Masyarakat perlu biasakan amalan normal baharu ini dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Kita akan terus melakukan pemeriksaan dan operasi seperti ini bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!