Hasil Kedah merosot akibat Covid-19

Muhammad Sanusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Kedah mengalami penurunan kutipan hasil negeri dianggarkan sebanyak RM100 juta tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19, berbanding sasaran awal kutipan hasil berjumlah RM701.94 juta.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu akan diperincikan ketika pembentangan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan 15 hingga 19 November ini.

Menurutnya, Belanjawan Kedah bertemakan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' itu akan menumpukan kepada usaha mengaktifkan semula sektor ekonomi, selain mengoptimumkan kutipan hasil.

“Saya yakin bahawa negeri lain, malah seluruh dunia hadapi situasi sama dan pendapatan terjejas. Untuk tahun 2021 dijangkakan Covid-19 masih memberi kesan kepada sektor ekonomi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi sehubungan itu berkata, pihaknya meminta individu atau syarikat yang mempunyai bayaran yang perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata, bayaran itu nanti akan dapat melaksanakan lebih banyak program pembangunan ekonomi.

"Fokus kita juga ialah menangani kesan Covid-19 dan memakmurkan rakyat Kedah walaupun pendapatan negeri terhad. Kita mahu maksimumkan aktiviti kebajikan. Saya nak ajak semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap pembangunan sektor ekonomi tahun hadapan akan bertambah baik susulan limpahan daripada projek besar yang dijangka bermula Disember dan Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

"Projek besar seperti pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sudah memasuki proses tender akan mula dilaksanakan Disember ini dan Januari depan, selain mampu aktifkan banyak sektor lain dari segi pekerjaan dan bahan binaan.

"Saya yakin ia akan wujudkan kitaran ekonomi lebih baik untuk pelbagai sektor terutama berkaitan pembinaan di negeri ini," katanya.

Pada sesi pembentangan Belanjawan Kedah 2020 pada Oktober tahun lepas, kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil mencecah RM701.94 juta iaitu lebih rendah berbanding anggaran kutipan hasil 2019 sebanyak RM710 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!