Bahan mentah cukup sepanjang Tahun Baharu Cina
DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan barangan dan bahan mentah sempena Tahun Baharu Cina 2019 adalah mencukupi.
Sebanyak 12 jenis barangan disenarai di bawah skim kawalan harga musim perayaan negeri Terengganu yang berkuatkuasa pada 30 Januari hingga 8 Februari 2019.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharudin Mohd Kia berkata, pengguna tidak perlu risau tentang bekalan barangan dan bahan mentah sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan semuanya mencukupi.
"Bekalan barangan terutama 12 item yang disenarai di bawah skim kawalan harga diyakini mencukupi dan negeri ini tidak akan berdepan sebarang masalah.
"Antara item tersebut ialah Ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A,B,C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan (daging/lemak)," katanya ketika pelancaran skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019 peringkat negeri yang diadakan di Pasaraya Nirwana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai KPDNHEP Dungun, Mohamad Hashim.
Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak melanggar syarat dan peraturan ditetapkan kerana tindakan tegas akan diambil.
"Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.
"Individu boleh didenda sehingga RM100,000 dan dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya serta syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 jika menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum.
"Jika gagal mempamer tanda harga berwarna merah jambu, individu boleh didenda RM10,000, manakala RM20,000 untuk syarikat," katanya.
Tambahnya, bagi melancarkan proses penguatkuasaan dan pemantauan harga, pihaknya mempergiatkan usaha sempena perayaan.
"Kita mengerah 112 pegawai penguatkuasa dan 60 pegawai pemantau harga untuk seluruh daerah di negeri ini.
"Mereka menjalankan pemantauan secara menyeluruh dan dari semasa ke semasa bagi melindungi pengguna," katanya.
Tindakan dan kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap peniaga atau premis sempena musim perayaan 2018 menunjukkan penurunan iaitu hanya 53 kes jika dibandingkan 72 kes pada tahun sebelumnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!