Saingan Piala Malaysia wajar diteruskan
JURULATIH berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim melihat TM Piala Malaysia wajar diteruskan pada musim ini kerana berpendapat masih ada banyak pilihan buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam memastikan semua perlawanan membabitkan 16 pasukan dapat berjalan seperti dirancang.
Beliau juga bersetuju dengan pendekatan format yang akan digunakan MFL kerana menjimatkan masa selain sebagai satu keperluan kesan daripada penularan Covid-19 yang membuatkan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan selama lima bulan.
Tambahnya, Piala Malaysia pada musim ini juga begitu penting kerana pemenangnya bakal mendapat salah satu slot pada kejohanan Piala AFC 2021.
“Tidak wajar Piala Malaysia dibatalkan pada musim ini. Kalau ikut pandangan saya, kes Covid-19 ini bukannya merebak di seluruh negara sebaliknya hanya beberapa negeri dikenakan sekatan seperti PKPB.
“Jadi pilihan lain masih ada dengan memilih venue yang tidak banyak kes atau tidak dikenakan PKPB seperti negeri-negeri di Pantai Timur meliputi Pahang, Terengganu atau Kelantan.
“Format baharu yang akan dibawa oleh MFL juga bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana empat perlawanan sahaja maksimum akan dilalui oleh mana-mana pasukan yang akan ke perlawanan akhir.
“Harus diingat, saya rasa pasukan pasti lebih bermotivasi untuk menjuarai Piala Malaysia kerana ia bakal menawarkan tempat ke Piala AFC pada tahun depan.
“Amat rugi jika Piala Malaysia dibatalkan kerana ini merupakan kejohanan bola sepak paling tua yang kita pernah ada. Ia hanya tidak boleh dilangsungkan semasa Perang Dunia Kedua suatu masa dahulu,” katanya.
Undian Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 1 November ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 November manakala suku akhir pada 12 dan 13 November disusuli separuh akhir pada 17 November dan final pada 22 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!