NAPC: Laksana secara telus, jangan retorik
ALOR SETAR - Inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NAPC) 2019-2023 diharap bukan sekadar mengurangkan indeks rasuah dalam negara, sebaliknya dilaksanakan tanpa mengira parti politik, kedudukan, jawatan dan pengaruh.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, NAPC ini jelas memberi amaran kepada semua terutamanya sektor awam dan ahli politik termasuk Perdana Menteri sendiri dan Menteri agar bebas daripada rasuah.
Menurutnya, NACP tidak hanya berfungsi sebagai pelan untuk menghapuskan rasuah, tetapi sebagai usaha menyembuhkan sistem demokrasi negara dan pentadbiran khususnya bagi memastikan tiada siapa pun memiliki kuasa berlebihan dengan mengamalkan pemisahan kuasa yang sebenar.
“Institusi berkaitan integriti dan rasuah harus diberikan ruang lebih bebas dalam melaksanakan tugas. Pemisahan kuasa eksekutif, pembuat dasar dan badan kehakiman serta perundangan mestilah diangkat untuk pastikan sektor perkhidmatan awam tidak dipertikai seterusnya menjadikan dasar NACP efektif,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, campur tangan politikus dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan antara isu dihadapi Malaysia dalam memerangi rasuah.
“NACP mestilah bertindak menghalang epidemik ini. Jabatan Peguam Negara dan kehakiman harus diberi kebebasan untuk dakwa sesiapa sahaja tanpa prejudis dan berkepentingan secara adil,” katanya.
Menurutnya, Pemuda Umno Alor Setar menyokong usaha ini dan berharap Pelan NACP mencerminkan aspirasi rakyat agar negara bebas rasuah di mata dunia yang sentiasa mempromosikan transparensi, akauntabiliti dan integriti.
“Setakat ini, agenda ini belum dilihat benar-benar wujud sama ada kerajaan PH serius mengguna pakai ia kerana masih banyak isu berbangkit bertentangan dengan roh NACP. Kita tidak mahu ia hanya retorik kerajaan yang akhirnya bersifat populis semata mata,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, bagi menjayakan NACP, institusi seperti Parlimen, Perundangan, eksekutif, ahli politik, penjawat awam, ahli korporat dan pelbagai lagi sektor harus lebih bertanggungjawab dalam tindakan mereka.
“Mereka inilah yang bakal terkesan dengan kejayaan pelan tindakan itu, mereka juga bakal bertanggungjawab jika ia gagal,” katanya.
Menurutnya, inisiatif NACP yang dilancarkan kerajaan PH itu diharap dapat merealisasikan kesinambungan menambah baik Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan Tun Abdullah Badawi pada 2004.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!