Tiga pegawai Penjara Seberang Perai pulih Covid-19
GEORGETOWN - Pegawai terakhir Penjara Seberang Perai yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) telah dibenarkan pulang ke rumah kelmarin.
Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, pegawai tersebut sudah sihat dan dibenarkan keluar wad pada Selasa lalu untuk berehat di rumah.
Menurutnya, pegawai berusia lingkungan 30-an itu dijangka memulakan kerja esok, namun sekiranya dia memerlukan cuti tambahan, pihak penjara akan membenarkannya.
"Dua pegawai yang dibenarkan keluar wad minggu lalu, sudah mula bekerja hari ini," katanya ketika dihubungi pagi ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Dua pegawai penjara sembuh, seorang stabil
Untuk rekod, sehingga semalam, sebanyak 256 kes positif dilaporkan di Kluster Penjara Seberang Perai yang mana ia turut melibatkan tiga pegawai penjara berkenaan.
Tambahnya, semua banduan yang masih disahkan positif sedang dirawat dan dipantau di wad sementara di dalam penjara tersebut.
"Semuanya stabil dan mereka kini di bawah pemantauan pihak penjara dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Buat masa ini, kita belum menerima sebarang arahan daripada KKM untuk menjalani ujian saringan ketiga ke atas semua banduan.
"Ujian saringan ke atas semua ahli keluarga kakitangan yang tinggal di kuarters telah selesai semuanya kelmarin. Dijangka keputusan diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi," katanya.
Kawasan Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangan di Jawi, Nibong Tebal kini memasuki hari ke-8 diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Mereka yang terjejas adalah 2,110 banduan, 1,129 kakitangan penjara dan anggota keluarga serta 32 kakitangan kerajaan yang lain.
Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster Covid-19 utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Seberang Perai menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.
Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang berikutan kematian seorang tahanan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.
Sejak daripada itu, jumlah yang disahkah positif terus meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!