Khatan perdana jimat belanja

Mohd Khairul (tiga, kiri) sewaktu Program Khatan Perdana SRCC Kluang.
Mohd Khairul (tiga, kiri) sewaktu Program Khatan Perdana SRCC Kluang.
A
A
A
KLUANG - Ibu bapa digalakkan menghantar anak-anak menyertai khatan beramai-ramai yang dianjurkan banyak pihak ketika musim cuti sekolah kerana lebih mudah dan menjimatkan.

Pengerusi Kelab Sukan dan Komuniti (SRCC) Kluang, Mohd Khairul Ishak berkata, dengan perkembangan teknologi perubatan yang semakin maju ketika ini proses berkhatan menjadi lebih mudah dan cepat berbanding secara tradisional sebelum ini.

“Proses berkhatan hari ini hanya sekitar 15 minit dan kanak-kanak tidak lagi perlu melakukan pelbagai prosedur seperti berendam di dalam air berjam lamanya selain kaedah pemulihan selepas berkhatan semakin cepat.

“Jika kita lihat, kaedah menggunakan ‘clamp’ bagi menggantikan kaedah jahitan juga lebih mudah dan cepat serta tidak menyakitkan kanak-kanak yang bebas bergerak selepas proses berkhatan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa Program Khatan Perdana SRCC Kluang di Surau Jaya Sepakat Kampung Melayu, di sini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kluang, Abdul Halim Md Dom.

Menurutnya, kos biasa yang dikenakan oleh kebanyakan klinik untuk menjalankan proses berkhatan adalah sekitar RM150 setiap orang, namun program tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peserta.

Katanya, pelbagai atur cara yang dilaksanakan ketika program sebegini sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada kanak-kanak sekaligus mampu mengurangkan tekanan emosi kepada mereka berbanding terpaksa menghadapi situasi tersebut bersendirian.

“Selain itu, program seumpama ini bukan sahaja mampu merapatkan hubungan dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi peserta, malah pemimpin dan masyarakat secara keseluruhannya.
Artikel Berkaitan:


“Melalui program sebegini, ibu bapa berpeluang beramah mesra dan berkenalan antara satu sama lain ketika menghantar anak-anak mereka dan saya harap ianya dijadikan program tahunan pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, 80 kanak-kanak teruja melangkah ke alam remaja terutama ketika diraikan sebelum dimandikan dengan pancutan air bomba sebelum dikhatankan beramai-ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!