Covid-19: Institusi pendidikan di Kuching ditutup mulai esok
KUALA LUMPUR - Sebanyak 209 institusi pendidikan di daerah Kuching, Sarawak yang telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan, akan ditutup bermula esok sehingga 13 November ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, bilangan itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
"Sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama berkenaan untuk pulang.
"Bagaimanapun murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan.
KPM memaklumkan, bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.
"Sepanjang tempoh penutupan itu juga, pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," menurut KPM.
KPM dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan kesemua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, dan Kolej Matrikulasi di Wilayah Persekutuan Labuan akan terus ditutup sehingga 13 November.
Ia susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Labuan dari 31 Oktober hingga 13 November ini.
-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!