Pickford terima ancaman bunuh
PENJAGA gol Everton, Jordan Pickford menerima ancaman bunuh dipercayai daripada penyokong Liverpool yang marah dengan tindakannya menyebabkan kecederaan kepada pertahanan The Reds, Virgil van Dijk dalam aksi derby kedua-dua pasukan pada 17 Oktober lalu.
Memetik laporan portal berita antarabangsa, Pickford sudah mengupah pengawal peribadi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman tersebut.
"Dia sangat terkejut dengan banyak ancaman yang diterimanya selepas perlawanan tersebut. Dia berusaha untuk mengambil seberapa banyak langkah untuk memastikan keselamatan keluarganya.
"Pickford juga sudah mengupah khidmat firma keselamatan untuk menjaganya dan keluarga. Minggu lalu, pengawal keselamatan diupah untuk mengawasi kediaman pemain itu yang dihuni bersama isteri dan anaknya yang berusia satu tahun.
"Dia dan keluarga turut dilarang aktif di media sosial untuk mengelakkan sesiapa tahu di mana mereka berada," kata laporan itu.
Terdahulu, Pickford dikritik selepas melakukan terjahan keras terhadap van Dijk yang menyaksikan tonggak utama pertahanan Liverpool itu mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat panjang.
Bagaimanapun, Pickford tidak menerima sebarang hukuman akibat terjahan tersebut sekali gus menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan penyokong Liverpool dan pemain The Reds.
"Polis turut sedang menyiasat hantaran di Twitter yang menyasarkan kepada Pickford dan rakan sepasukannya Richarlison yang turut menerima ancaman selepas mengasari pemain tengah Liverpool, Thiago dalam perlawanan yang sama," jelas laporan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!