Mangsa kebakaran rayu bantuan rumah

Khemah menjadi penempatan sementara keluarga Saidah (gambar kecil) di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Khemah menjadi penempatan sementara keluarga Saidah (gambar kecil) di Kampung Pasir Putih, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Sudah hampir dua tahun kejadian kebakaran yang memusnahkan 55 buah rumah di Kampung Pasir Putih berlalu namun penduduk yang terjejas masih tidak mempunyai rumah kekal atau ditempatkan di perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Mangsa terbabit terpaksa mendirikan penempatan sementara tidak jauh dari lokasi kebakaran dengan menggunakan papan lapis dan khemah untuk berteduh.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sekurang-kurangnya 20 penempatan sementara didirikan di kawasan itu dengan menggunakan zink dan papan lapis serta berbumbungkan khemah hasil sumbangan orang ramai.

Lebih menyedihkan, terdapat dua atau tiga keluarga tinggal bersama dalam satu ruang sempit dan tidak sempurna.

Mangsa kebakaran, Saidah Tahir, 55, mendakwa ada ahli politik sebelum ini yang berjanji memberi semula tapak rumah yang terbakar.

"Bagaimanapun sehingga kini kami tidak dibenarkan mendirikan rumah di tapak itu berikutan status tanah yang tidak diketahui sedangkan kami sudah menetap di kawasan itu hampir 50 tahun

"Jadi kami terpaksa membina kediaman ini untuk sementara.

"Kami turut dijanjikan rumah PPR tetapi dua tawaran itu cuma janji sahaja dan belum ada perkembangan setakat ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Saidah menunjukkan penempatan sementara diami mereka tiga keluarga, mereka menetap di tempat yang sama di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Saidah menunjukkan penempatan sementara diami mereka tiga keluarga, mereka menetap di tempat yang sama di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Sehubungan itu, Saidah merayu supaya pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah mereka kerana ramai penduduk tidak mampu menyewa rumah lain berikutan sewa di sekitar Putatan mencecah sehingga RM1,000.

"Kami yang hanya peniaga kecil-kecilan ini juga sukar mendapat pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Saidah memberitahu, pendapatan peniaga juga terjejas kerana Pasar Putatan runtuh baru-baru ini menyebabkan meja untuk berniaga tidak dapat digunakan," katanya yang juga peniaga kuih.

Adik Saidah, Aineh, 49, pula bimbang dengan keselamatan penempatan sementara yang mereka diami sekarang kerana bekalan elektrik tidak sah.

"Bekalan elektrik kami dapat bukan secara sah dan ini sebenarnya mengundang bahaya sekali gus mungkin akan menyebabkan kebakaran kali kedua.

"Jika kami diberikan rumah atau boleh mendirikan rumah di tapak asal, kami boleh memohon bekalan elektrik dengan cara yang betul seperti di rumah yang lama dulu yang terbakar," katanya.

Aineh berkata, dulu mereka tinggal di rumah berasingan tetapi selepas kejadian kebakaran itu mereka terpaksa menetap di penempatan sementara itu.

"Kami tiada pilihan lain kerana masalah yang sama tidak dapat mendirikan rumah di tapak lama dan tidak juga mendapat sebarang tawaran rumah PPR," katanya.

Aineh berharap, nasib mereka yang menetap di kawasan itu diambil tindakan kerana aduan kepada pelbagai pihak sudah dilakukan dan belum menerima maklum balas setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!