Tanah mendap: Peniaga terpaksa dipindah untuk keselamatan
MELAKA TENGAH - Mendapan tanah yang berlaku di bahagian belakang Terminal Melaka Sentral sejak 10 tahun lalu menyebabkan kira-kira 45 peniaga terpaksa dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pemindahan itu perlu dilakukan segera bagi menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung memandangkan mendapan yang berlaku semakin kritikal selain graf laporan forensik geoteknik yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke atas struktur bangunan itu menunjukkan ia telah melebihi julat bacaan dan status bangunan sebagai tidak selamat digunakan.
Menurutnya, hasil laporan berkenaan mendapati sebanyak 300 mililiter mendapan lantai berlaku di bahagian lain melibatkan sayap kanan bangunan tersebut yang terletak di tempat pemandu teksi.
"Melihat keadaan itu, kira-kira 20 peniaga perlu berpindah sementara ke bahagian lain dalam terminal itu manakala 25 lagi peniaga sedang mencari lokasi yang bersesuaian agar pemindahan itu tidak menjejaskan periuk nasi mereka.
"Sepatutnya arahan telah dikeluarkan pihak pengurusan, mereka harus berpindah pada hari ini, namun atas budi bicara dan tanggungjawab sosial kita memberi sedikit tempoh lagi iaitu selepas Tahun Baru Cina untuk berbuat demikian selain pemantauan yang akan dilakukan pihak pengurusan di lokasi yang terjejas setiap hari bagi merekodkan sekiranya berlaku sebarang pergerakan," katanya.
Mohd Sofi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan berlaku mendapan di Terminal Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah, Melaka Sentra Sdn. Bhd, Nazri Abu Kasim.
Mohd Sofi yang juga Adun Durian Tunggal berkata, pihak pengurusan juga akan mengambil langkah drastik bagi melakukan kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM7 juta.
Katanya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga pernah membuat pemeriksaan pada tahun 2008 mengenai mendapan itu, bagaimanapun sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan sebelum ini bagi membaik pulih kerosakan tersebut.
"Dalam tempoh itu, tiada sebarang tindakan yang dilakukan walaupun Ikram telah membuat pemeriksaan mengenai status mendapan tersebut dan kami berprasangka baik mungkin pengurusan terdahulu yang mungkin mereka menghadapi kekangan kewangan.
"Projek menaik taraf sekitar kawasan perniagaan dengan tapak keluasan sebanyak 20,000 kaki persegi dianggarkan akan siap sepenuhnya dalam enam hingga sembilan bulan," katanya.
Dalam pada itu Mohd Sofi turut memperkenalkan aplikasi canggih yang akan dimanfaatkan di lokasi itu bagi Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan Sistem Operasi Terminal (TOS) yang dijangka akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan di Terminal Melaka Sentral.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!