Starbucks Reserve buka cawangan ke lapan
STARBUCKS Malaysia, yang telah merasmikan cawangan Starbucks Reserve ke-lapan hari ini, merancang untuk membuka dua atau tiga lagi kedai berkonsep premium pada setiap tahun bagi menangani peningkatan minat pelanggan ke atas keunikan dunia kopi.
Pengarah Urusan Starbucks Malaysia & Brunei, Sydney Quays berkata, cawangan Starbucks Reserve yang pertama telah dibuka di The Gardens Mall pada tiga tahun lepas, diikuti dengan Sunway Pyramid, SkyAvenue Genting Highlands, Publika, Desa Parkcity, Four Seasons Place Kuala Lumpur, Paradigm Mall Johor dan hari ini di Berjaya Time Square, melalui tapak kedai yang berkeluasan 5,000 kaki persegi.
"Kami tidak menjangka sambutan yang kukuh bagi kedai konsep baharu ini dan kami terkejut selepas melihat ramai pengunjung amat berminat untuk mengetahui tentang kopi dan kepelbagaian kaedah bru kopi.
"Ini mengilhamkan kami untuk membuka lebih banyak cawangan Starbucks Reserve. Pembukaan Starbucks Reserve di Berjaya Times Square mencerminkan keasyikan kami ke atas kopi termasuk komitmen kami untuk terus menyediakan pengalaman kopi dan pengetahuan kepada rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, memupuk budaya hubungan manusia," katanya kepada pemberita selepas pembukaan kedai itu hari ini.
Starbuck Reserve menampilkan dua buah bar, satu bar utama yang menghidangkan produk Starbucks utama dan satu lagi bar, menawarkan tujuh kaedah bru kopi seperti tuang dari atas, Chemex, tekanan, sifon, espreso Black Eagle, Clover dan bru sejuk Nitro.
Quays, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd berkata, kumpulan itu, biasanya akan membuka kira-kira 30 cawangan Starbucks setahun dengan perbelanjaan modal mencecah sehingga RM60 juta, ini merangkumi cawangan biasa, Starbucks Reserve, pemanduan terus dan gerai-gerai kecil.
Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan ke atas prospek Berjaya Food untuk tahun kewangan 2019, didorong oleh jangkaan prestasi yang lebih baik membabitkan perniagaan Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia dan operasi Jollibean di Singapura.
"KRR telah menjadi cabaran sejak beberapa tahun lepas tetapi melalui strategi baharu yang diperkenalkan, KRR Express, cawangan format kecil, kami lihat ia telah mula bertambah baik pada tahun ini. Konsep ini, terbukti berkesan dan kami mahu mengembangkan model ini kerana ia hanya melibatkan pelaburan yang lebih rendah," katanya.
Quays ketika mengulas mengenai cukai gula yang bakal dikenakan pada 1 April ini berkata, ia tidak akan menjejaskan perniagaan kumpulan secara ketara dan kumpulan tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkan harga produk pada masa sekarang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!