Beri ruang Perdana Menteri memimpin negara

Annuar pada sidang akhbar selepas majlis Sumbangan Wilayah Cakna 3.0 di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Annuar pada sidang akhbar selepas majlis Sumbangan Wilayah Cakna 3.0 di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi ruang seluasnya untuk memimpin negara, serta menentukan corak pentadbirannya tanpa ada sebarang tekanan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, soal berkaitan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah merupakan hak istimewa atau prerogatif Perdana Menteri.

“Perdana Menteri fikir tidak perlu ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan gunakan sistem empat menteri kanan, kita terima.

“Kalau sekarang Perdana Menteri berubah fikiran nak seorang Timbalan Perdana Menteri pun kita terima,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada komuniti Putrajaya di bawah Wilayah Cakna 3.0 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan desas-desus tiga pemimpin UMNO disebut-sebut dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Annuar berkata, adalah tidak salah untuk memberikan syor dan pandangan, tetapi ia tidak harus dilihat seolah-olah Perdana Menteri ditekan.

“Timbalan Perdana Menteri itu adalah orang paling kanan kepada Perdana Menteri, bolehkah letak seseorang yang tidak boleh bekerjasama? Sudah tentu tidak begitu,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: MT UMNO mesyuarat lagi malam ini

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!