Kanak-kanak lemas jatuh tasik
KLANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas dipercayai terjatuh di sebuah tasik di Bandar Puteri, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, A Romzi Abu berkata, mangsa, Tan Wei Xiang yang beralamat di Taman Sentosa bermain di tepi tasik bersama dua lagi rakan sebelum tergelincir.
Pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 4.59 petang.
“Sebuah jentera bersama tujuh anggota dari BBP Andalas tiba di lokasi jam 5.05 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Operasi turut dibantu lima anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi.
Operasi mencari mangsa menghadapi kesukaran disebabkan arus deras di laluan masuk tasik.
“Mangsa ditemui kira-kira empat meter dari tempat dia terjatuh pada jam 6.59 petang.
“Mayat mangsa diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!