Isu keganasan tidak boleh dilihat dari manifestasi sesuatu agama

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan terbesar dalam menanggapi isu keganasan di seluruh dunia ialah melihat keganasan sebagai manifestasi sesuatu agama, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Ujar beliau, sikap prejudis itu telah menenggelamkan masalah akar keganasan iaitu reaksi kepada konflik, krisis kejahilan, kurangnya sikap saling menghormati, tiada penghayatan manusiawi yang global dan kebejatan fikir.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan, tindakan akhbar mingguan Charlie Hebdo menerbitkan karikatur Nabi Muhammad jelas merupakan suatu tindakan tidak sopan yang terbit dari sikap kejahilan dan ketandusan manusiawi, serta sikap tidak hormat kepada keragaman kepercayaan umat dunia, malah dengan sengaja mahu menimbulkan konflik antara umat manusia yang tidak perlu," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Maszlee, kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan yang tidak bermoral itu juga adalah tidak bertanggungjawab, jauh dari nilai kemanusiaan global serta perlu dikecam dan dihentikan segera.

"Dunia tidak akan aman jika kebebasan diertikan dengan usaha mempromosi sikap kebencian kepada mana-mana pihak, bangsa atau agama, bahkan lebih malang, ia bakal terbuka kepada tindak balas yang akan mengeruhkan keadaan dan hubungan kemanusiaan global.

"Di kesempatan ini, perlu saya tekankan penting dan perlunya umat dunia menyemarakkan sikap cinta, kegembiraan dan saling menghormati di antara satu sama lain.

"Dunia akan menjadi lebih damai jika kita menyemarakkan cinta sesama manusia berbanding kebencian dalam apa medium sekalipun," ujar beliau.

Sehubungan itu, kata Maszlee, bersempena sambutan Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW, amat wajarlah semua pihak menghayati pesanan baginda yang menyebutkan bahawa: “Barangsiapa yang tidak mengasihani, dia tidak akan dikasihi...”

Artikel Berkaitan:

"Falsafah asas kepada agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad terletak kepada perkataan Islam itu sendiri yang berakar daripada kata sa-la-ma, yang membawa maksud aman, sejahtera atau bahagia.

"Nama Islam itu sendiri telah mempromosi mesej asasnya iaitu keamanan dan kesejahteraan umat.

"Justeru, sebarang tindakan yang berdalih daripada mesej utama ini tidak seharusnya dikaitkan dengan agama Islam secara semberono," katanya.

Maszlee menyeru agar Macron dan semua pemimpin dunia untuk sama-sama bekerja mengukuhkan keamanan sejagat dan mengelakkan sebarang perlakukan yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan di kala seluruh dunia sedang cekal berhadapan dengan bencana Covid-19.

"Bersama kita menyebarkan kemanusiaan sejagat lewat cinta, kebahagiaan dan saling menghormati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!