Satu lagi PKRC di Labuan dibuka hari ini

Pusat Kuarantin dan Rawatan koronavirus (Covid-19) untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di wilayah itu. - Foto Bernama
Pusat Kuarantin dan Rawatan koronavirus (Covid-19) untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di wilayah itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan koronavirus (Covid-19) untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di wilayah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, sebagai tambahan kepada kepada 177 katil di PKRC sedia ada sebelum ini, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan agensi lain di Labuan serta Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain, yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar di JKWP Labuan, di mana pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program kawalan Covid-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Katanya, sebelum ini, JKWP Labuan telah meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC.

“Untuk menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di WP Labuan, JKWP Labuan telah meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC iaitu fasa pertama (Januari-Mac 2020) dengan menjadikan rumah pelawat dan pusat ‘wellness’ sebagai PKRC dengan kapasiti 16 katil.

“Fasa kedua (Mac-September 2020), memaksimumkan ruang di Hospital Labuan dengan tambahan 105 katil, menjadikan kapasiti katil Covid-19 ketika itu meningkat kepada 121 katil, dan fasa ketiga (September-Oktober 2020), melibatkan rundingan penggunaan fasiliti luar iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai PKRC yang berkapasiti 56 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC sebanyak 177 katil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, daripada 122 katil di hospital itu, sebanyak 20 katil telah dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil ‘Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak.

Katanya, baki 102 lagi katil Hospital Labuan termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan Covid-19.

“Ini sekali gus menjadikan kapasiti terkini katil untuk pesakit Covid-19 di WP Labuan meningkat kepada 337 katil di mana jumlah katil di PKRC adalah 317 katil, manakala katil untuk rawatan pesakit Covid-19 di Hospital Labuan adalah 20 katil,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pola peningkatan kes Covid-19 di Labuan dijangka meningkat, disebabkan saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan JKWP Labuan terutama di kawasan-kawasan berpotensi wabak, dengan purata saringan adalah 1,500 ke 2,500 sehari.

Beliau berkata jumlah sampel ujian RT-PCR yang telah diambil sejak 27 September berjumlah 23,807 dan kadar pengesanan kes untuk keseluruhan di Wilayah Persekutuan itu adalah sekitar 1.5 peratus, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, kadar pengesanan adalah sekitar 10 sehingga 15 peratus.

“Wilayah Persekutuan Labuan telah mencatatkan peningkatan kes Covid-19 mulai 27 September yang lalu, sedangkan sejak daripada permulaan wabak Covid-19 sehingga 26 September, Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif.

“Sejak 27 September sehingga hari ini, Labuan telah mencatatkan tambahan sejumlah 366 kes yang menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan berjumlah 392 kes,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!