Bawa kereta mewah bukan lesen rampas parkir OKU

No Image Caption
A
A
A

DI MALAYSIA, sistem pendidikan semakin maju, seiring dengan kemajuan dunia tetapi Merak Jalanan hairan kenapa masih ada segelintir rakyat Malaysia seolah-olah tidak berpelajaran sehingga sanggup merampas parkir orang kurang upaya (OKU) dengan sewenang-wenangnya.

Perkara itu bukan baharu, malah boleh dilihat dengan jelas di mana-mana sahaja kawasan awam terutama di kedai makan, pusat beli-belah mahupun kawasan pejabat.

Merak Jalanan lihat mereka yang terlibat itu bukanlah golongan istimewa kerana di cermin kenderaan mereka tiada sebarang pelekat OKU, apatah lagi memiliki ahli keluarga yang terdiri daripada golongan berkenaan.

Menariknya, kebanyakan kenderaan yang merampas hak OKU itu bukan calang-calang jenisnya.

Majoritinya kenderaan yang besar dan mewah dengan harganya melebihi RM150,000.

Melihat kereta sahaja, kita sudah tahu bahawa pemiliknya adalah orang yang berpendidikan tinggi dan boleh berfikir dengan waras.

Malangnya, perlakuan mereka itu sedikit pun tidak mencerminkan apa yang mereka miliki.

Tindakan mereka itu seolah-olah sengaja menjadikan kenderaan yang dipandu sebagai lesen untuk mengambil parkir OKU.

Artikel Berkaitan:

Betul bak kata kawan Merak Jalanan, manusia ini kalau keretanya besar sedikit daripada orang lain, mulalah dia besar kepala sehingga memperlekehkan hak orang lain.

Jadi, mereka yang ada sifat sebegini dan masih melakukannya, Merak Jalanan nasihatkan supaya menghentikannya segera. Ubahlah perangai, hormatilah hak OKU dan jangan pentingkan diri sendiri.

Merak Jalanan bimbang, sikap suka merampas hak golongan istimewa itu akhirnya menyebabkan mereka juga akan bergelar OKU suatu hari nanti. Siapa tahu?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!