Tonggak Manchester United positif Covid-19
GERGASI Liga Inggeris, Manchester United mengesahkan tonggak pertahanannya, Alex Telles positif Covid-19 kini menjalani kuarantin dalam tempoh 10 hari.
"Kami berharap dia cepat sembuh dan segera kembali bersama pasukan," kata kelab itu menerusi Twitter ketika memaklumkan perkara berkenaan.
Situasi itu menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer tidak dapat menurunkan pemain dari Brazil berkenaan ketika The Red Devils melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas kelab Jerman, RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara di Old Trafford.
Sementara itu, Telles berterima kasih kepada semua pihak khasnya penyokong kelab berkenaan yang menghantar pelbagai kiriman mesej yang mengharapkan dia segera sembuh.
"Saya berada dalam keadaan sihat dan sedang menjalani kuarantin dan akan kembali segera bersama rakan sepasukan untuk memperkuatkan cabaran kelab. Terima kasih sekali lagi atas semua mesej yang dihantar kepada saya," katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai The Red Devils dari kelab Portugal, FC Porto dengan kontrak selama empat tahun tampil menyerlah ketika membantu kelabnya mengatasi Paris-St German 2-1 di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!