Bekalan makanan untuk haiwan di Zoo Melaka cukup
MELAKA - Biarpun berdepan dengan kekurangan pengunjung kerana pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara, namun bekalan makanan untuk haiwan di Zoo Melaka di sini masih mencukupi.
Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis berkata, setakat ini pihaknya mendapat bantuan pelbagai pihak untuk membantu menampung bekalan makanan.
Beliau berkata, ini termasuk bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sentiasa prihatin dan memperuntukkan bantuan kira-kira RM300,000 bermula sejak Julai lalu.
Menurutnya, peruntukan itu bagi menampung kos makanan membabitkan kira-kira 600 ekor haiwan di zoo berkenaan selain kos perubatan.
"Pihak zoo juga memantau setiap haiwan dan tiada hanya tertumpu kepada kos makanan dan tahap kesihatan haiwan, namun kita juga perlu memastikan binatang tidak stres atau bosan dengan menyediakan pelbagai aktiviti untuk haiwan.
"Kita juga bernasib baik kerana Perhilitan sentiasa berhubung dan memantau setiap haiwan bukan sahaja dari segi memastikan binatang sihat, malah lokasi kandang dan bilangan binatang juga dalam keadaan dan kapasiti yang sesuai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Zanariah berkata, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd cawangan Cheng dan Bandaraya juga tidak ketinggalan memperuntukkan RM200 sehari bagi kos makanan kepada haiwan yang dianggarkan kos keseluruhan berjumlah RM6,000 sejak tiga bulan lalu sehingga hujung tahun ini.
"Jadi kita tiada berdepan masalah kekurangan stok makanan binatang. Sekiranya keperluan mendesak, ada beberapa inisiatif akan Zoo Melaka lakukan untuk penjimatan kos.
"Ini termasuk melakukan penjimatan kos utiliti, kos kerja lebih masa dan sebagainya," katanya.
Semalam, dua buah syarikat swasta Evergreen Energy dan Kanta menyumbangkan kira-kira lima tan sayur-sayuran kepada Zoo Melaka.
Semalam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, pengunjung Zoo Melaka mencatatkan penurunan sehingga 90 peratus sejak bulan lalu menyebabkan lokasi pelancongan popular di Melaka itu berdepan kekurangan stok makanan haiwan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!