Tiket bas, kereta api habis dijual sempena Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiket bas untuk perjalanan ke destinasi pantai timur dan utara menjelang sambutan Tahun Baharu Cina sudah habis dijual sejak dua minggu lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati tiket bas untuk perjalanan dari Lembah Klang ke pantai timur seperti Kota Bharu dan Kuala Terengganu bermula 29 Januari hingga 4 Februari serta 8 Februari hingga 10 Februari, sudah habis dijual.

Lebih 80 peratus tiket perjalanan pergi dan balik dari Lembah Klang ke negeri-negeri di sebelah utara seperti Pulau Pinang dan Kedah sudah habis dijual.

Menurut seorang petugas TBS, tiket-tiket bas menuju ke Selatan masih banyak lagi dijual.

"Bagi mereka yang masih mencari tiket bas pada saat-saat akhir, masih ada lagi bas-bas tambahan untuk perjalanan ke selatan seperti Melaka, Johor dan Singapura,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ada sesetengah syarikat bas terpaksa menaikkan harga kerana permintaan tinggi pada saat-saat akhir dan akan kembali normal selepas Tahun Baharu Cina.

"Sebanyak 70 kaunter telah dibuka selama 24 jam sejak Sabtu lepas untuk kemudahan orang ramai sehingga malam Tahun Baharu Cina dan lima lagi kaunter tambahan dibuka dari 7 pagi hingga 11 malam," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama ke Stesen Sentral Kuala Lumpur turut mendapati tiket perjalanan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Intercity dari Lembah Klang ke utara dan pantai timur sudah habis dijual.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak 89 peratus tiket perjalanan bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) bermula 31 Jan hingga 10 Februari telah habis dijual.

"Bagi memenuhi permintaan orang ramai, sebanyak empat ETS tambahan untuk perjalanan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworh-KL Sentral disediakan dari 1 Februari hingga 4 Februari dan 7 Februari hingga 10 Februari.

"Sebanyak 9,984 tiket tambahan disediakan dan 72 peratus daripadanya telah terjual sejak ia mula dijual pada 14 Januari lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis edaran pek Tahun Baharu Cina kepada penumpang KTMB di sini.

Katanya sebanyak 16,000 tiket Intercity ditawarkan untuk perjalanan pergi balik dari Gemas ke Padang Besar dan 71 peratus daripadanya sudah habis dijual untuk esok hingga 4 Februari dan dari 7 hingga 10 Februari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!