PLKS: Imigresen minta majikan buat semakan

Datuk Khairul Dzaimee Daud
Datuk Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia memandang serius dakwaan kelewatan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dilaporkan dalam sebuah portal berita semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya juga akan meminta majikan terlibat untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membuat semakan lanjut.

“Untuk makluman, buat masa ini, tiada sebarang perubahan dasar berkaitan lanjutan PLKS.

“Jabatan Imigresen komited dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan tidak akan sesekali berkompromi dengan majikan atau pekerja asing sekiranya melanggar Akta dan Peraturan Imigresen,” katanya.

Tambah beliau, proses PLKS untuk Pembantu Rumah Asing telah dilaksanakan secara atas talian sejak April 2015 bertujuan memudahkan permohonan serta mempercepatkan perkhidmatan.

“Permohonan lanjutan boleh dibuat oleh majikan yang sah tanpa melalui pihak ketiga dan setiap permohonan yang dibuat secara atas talian akan diberikan Akuan Penerimaan setelah permohonan berjaya dihantar.

“Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, majikan dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan tiga bulan sebelum PLKS tamat tempoh.

“Permohonan yang berjaya dihantar akan diproses selewat-lewatnya dalam tempoh tujuh hingga 14 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, sehingga 31 Disember 2018, terdapat sebanyak 2,015,760 PLKS yang aktif.

“Daripada jumlah ini 705,016 adalah dari sektor perkilangan, 435,002 pembinaan, 306,417 perkhidmatan, 282,494 perladangan, 159,662 pertanian dan 127,169 pembantu rumah asing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!