Ebit Lew hantar bantuan ke Sabah
KUALA LUMPUR - Pendakwah Ebit Lew meneruskan misi bantuan dengan menghantar barangan perubatan ke Sabah hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Ebit meluahkan perasaan risau dengan keadaan rakyat di Sabah selepas menerima banyak mesej meminta bantuan.
"Doakan ya. Risau teramat sangat baca tentang saudara kita di Sabah. Ramai mesej saya minta bantuan.
"Terus pagi ini hantar barang medikal ke Sabah, " menurut perkongsian di Facebooknya hari ini.
Katanya, barangan yang dihantar termasuk kelengkapan pelindungan diri (PPE), pelindung muka (face shield) dan pelindung kasut untuk keperluan petugas barisan hadapan.
Katanya lagi, kesemua keperluan itu dihantar menggunakan perkhidmatan Raya Airways.
"Doakan ya, insyaALLAH semoga ALLAH SWT selamatkan Sabah. Sayang orang Sabah sangat," tulisnya.
Ebit antara individu terawal yang turun padang menghulurkan bantuan makanan serta perubatan sejak negara dilanda koronavirus (Covid-19).
Tidak tamat di situ, baru-baru ini beliau turut membeli dua lori air bagi membantu penduduk Pinggiran Batu Caves yang terjejas dengan gangguan bekalan air ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!