BigPay beri amaran penipuan guna jenamanya
KUALA LUMPUR - Aplikasi BigPay memberi amaran kepada semua ahlinya dan orang awam mengenai penipuan berleluasa yang melibatkan penyamaran sebagai kakitangan syarikat, mewakili syarikat atau syarikat berkaitan BigPay.
Penipuan itu dilakukan individu yang menawarkan hadiah berupa wang tunai dan hanya boleh dituntut setelah menerima maklumat peribadi seperti kata kunci sekali sahaja (OTP) daripada penerima panggilan.
Ia turut menasihati orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya daripada aplikasi sembang seperti WhatsApp.
“BigPay ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.
“BigPay tidak mempunyai akaun perniagaan WhatsApp rasmi dan tidak berkomunikasi dengan penggunanya melalui mana-mana aplikasi sembang. Semua pengumuman rasmi BigPay akan diumumkan di laman rasmi BigPay dan media massa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BigPay ialah cabang perniagaan fintech (teknologi kewangan) di bawah syarikat induknya AirAsia.
Selain itu, BigPay juga mengukuhkan aspek keselamatannya dengan melaporkan nombor-nombor WhatsApp yang dipakai oleh penipu ini kepada pihak berkuasa.
“BigPay bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membanteras penipuan ini.
“BigPay juga melatih sistem pembelajaran mesinnya untuk mengesan atau memberi amaran terhadap tingkah laku penipuan, menyekat akaun BigPay penipu secara sistematik, serta memperkukuhkan syarat penetapan kata laluan dengan menambah ciri pengesahan dua langkah dan terus menambah baik ciri-ciri sedia ada untuk melindungi pengguna BigPay,” katanya.
BigPay tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.
“Orang ramai diingatkan bahawa BigPay tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan ini yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!