Penunggang motosikal berkuasa tinggi rentung bawah bas
SARIKEI - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi rentung selepas kenderaan yang ditungganginya bertembung dengan sebuah bas lalu terbakar di Jalan Bulat, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dilaporkan menunggang dengan laju selepas memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan bas dari arah bertentangan lalu terperosok di bawah kenderaan itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PBK II Haron Jenai, ketika dihubungi berkata, mangsa yang berasal dari Kuching dan menetap di Betong itu dikatakan mengikuti konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Sabah semasa kejadian tersebut.
Beliau berkata pihak bomba mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk memadam kebakaran bas tersebut sebelum mengeluarkan mangsa dari bahagian bawah kenderaan tersebut.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sarikei.
Katanya, butiran terperinci mangsa masih belum diperolehi namun keluarga terdekat beliau telahdimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexon Naga Chabu, berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkuasa tinggi itu dipercayai ditunggang laju ketika memotong sebuah lori lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas.
Bas yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Sarikei itu membawa empat penumpang.
Katanya, kesemua penumpang, pemandu dan seorang konduktor bas berjaya dari bas tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!